Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Masalah Rumah Tangga Buat Awie Mahu Jadi Bapa Terbaik


Pelakon dan penyanyi Awie mengakui hubungannya dengan anak-anaknya menjadi lebih erat berbanding sebelum insiden kontroversi rumah tangganya bersama isteri, Rozana Misbun, 36.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia kini sedang berusaha untuk menjadi bapa yang baik dan menjalankan tanggungjawab yang seharusnya dijalankan sebagai seorang bapa.

"Kalau dulu saya hanya kerja dan cari rezeki untuk keperluan mereka sahaja, tetapi sekarang saya sentiasa berada bersama mereka. Kadang-kadang saya terpaksa curi-curi masa untuk balik ke rumah melihat keadaan mereka dan masak untuk mereka.

"Ketika sedang bekerja pun saya sering menghubungi anak saya yang sulung untuk tanya apa yang terjadi di rumah, bila balik rumah saya akan periksa bilik mereka dan cium satu-satu anak saya.

"Saya tidak dapat bayangkan kalau saya tidak dapat bersama mereka atau mungkin saya akan mati jika berpisah dengan anak-anak saya itu," ujarnya

Dalam pada itu tambah Awie, anak-anaknya merupakan keutamaan dan harta yang perlu dipelihara biarpun dirinya dipandang negatif oleh masyarakat berikutan isu tersebut.

"Saya tidak kisah apa masyarakat nak cakap pada saya yang penting saya tahu apa yang sedang saya lakukan dan menjaga kebajikan serta kepentingan mereka. Anak-anak saya menangis bila baca tentang hukuman yang bakal saya hadapi jika sabit kesalahan hingga membuatkan saya sendiri menangis sama," ujarnya.

Gambar kenangan Awie bersama isteri dan anak-anaknya.

Sementara itu, Awie turut mengakui tertekan dengan keadaan tersebut sehingga dia tekad untuk menolak semua tawaran lakonan dan nyanyian.

Dia juga terfikir untuk berhenti daripada dunia hiburan dan memulakan hidup baharu dengan menguruskan perniagaan.

Bagaimanapun, hasrat tersebut dihalang banyak pihak yang tidak henti-henti memberi nasihat dan menyokong kerjaya seninya.

"Saya tertekan dengan keadaan ini, saya tolak semua tawaran termasuk Supermokh ini, tetapi bila dipujuk oleh penerbitnya Hans Isaac dan menasihatkan saya supaya meneruskan hidup barulah saya setuju.

"Saya tolak sebab saya tidak mahu imej buruk saya ini akan terpalit kepada mereka,” ujarnya.

Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan proses sulh yang dijalankan pada 6 Ogos lalu, mahkamah telah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan.
sumber: http://www.mstar.com.my/
0 Komentar untuk "Masalah Rumah Tangga Buat Awie Mahu Jadi Bapa Terbaik"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info