Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

MH17: Pengebumian Dora Shahila Diiringi Tangisan Anak Tunggal


 Pengebumian ketua pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) Allahyarham Dora Shahila Kassim diiringi tangisan anak tunggalnya, Nurliyana Yazeera Yazli menyebabkan suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Damansara di sini, Jumaat.

Nurliyana Yazeera, 15, yang menangis sebaik melihat keranda jenazah ibunya diturunkan dari van jenazah sejurus tiba pada kira-kira 2.40 petang, membangkitkan suasana sebak dan pilu pada majlis pengebumian itu yang dihadiri kira-kira 200 orang anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham Dora Shahila.

Pengebumian jenazah ibu tunggal itu disempurnakan pada 3.10 petang. Allahyarham Dora Shahila adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dari Amsterdam pada 9.54 pagi Jumaat.

Terdahulu jenazah ibu tunggal berusia 47 tahun itu dibawa ke Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di Damansara.


Kemudian, kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat ke atas jenazah allahyarham selepas solat Jumaat dengan diimamkan oleh Imam Masjid Al-Taqwa Mohd Ghazali Mohamed Nor.

Sementara itu, Don Shahidan Kassim, 48, berkata mereka sekeluarga bersyukur kerana jenazah adik perempuannya dapat diuruskan dengan sempurna.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan dan MAS yang membantu membawa pulang jenazah adik saya," katanya kepada pemberita di sini.

Turut hadir pada majlis pengebumian itu ialah penyanyi Datuk Mohd Shukri Sahabuddin atau Hattan yang juga sepupu Allahyarham Dora Shahila.

Don Shahidan berkata, Nurliyana Yazeera akan dijaga oleh neneknya, Hasnah Mohd Yusuf, 71.

"Saya dan lima beradik yang lain akan turut mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan Nurliyana Yazeera," katanya.

Pramugari MAS Hanisah Halmi, 42, pula berkata Allahyarham Dora Shahila merupakan rakan yang baik dan banyak membantu pekerja lain semasa bertugas.

"Sebagai ketua pramugari, arwah tidak pernah menunjukkan pangkatnya yang lebih tinggi daripada rakan sekerja lain...beliau seorang sahabat yang baik kepada kami," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas, setelah ditembak jatuh.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.
0 Komentar untuk "MH17: Pengebumian Dora Shahila Diiringi Tangisan Anak Tunggal"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info