Pelakon Raja Azrey tetap akan menggunakan gelaran Datuk yang diterimanya daripada puak adat pepatih Naning walaupun perkara itu tidak diiktiraf di negara ini.
Raja Azrey berkata, ini berikutan dia merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menghargai puak berkenaan yang mengiktiraf jasanya selepas menghasilkan teaterLagenda Dol Said yang mengisahkan tentang sejarah pahlawan Melaka baru-baru ini.
"Sebenarnya saya enggan menceritakan perkara ini kerana ia akan mengundang persoalan dan kontroversi kepada semua pihak.
"Saya faham pertikaian itu berpunca kerana mereka keliru dan tidak faham apakah tujuan pengiktirafan itu diberi.
"Apa-apapun, saya akan menggunakan gelaran Datuk bagi tujuan tertentu seperti kerja-kerja rasmi," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.
Baru-baru ini, sebuah poster teater 3 Kali Sayang yang bakal dipentaskan pada 30 Ogos ini di Auditorium MPAJ Pandan Indah telah dikeluarkan untuk tujuan promosi.
Bagaimanapun nama Datuk Raja Azrey sebagai penulis skrip dan pengarah yang dipaparkan pada poster berkenaan mengundang pertanyaan semua pihak tentang penerimaan gelaran tersebut.
Sementara itu, Raja Azrey menambah, majlis pengurniaan darjah kebesaran itu belum lagi dilaknsakan. Bagaimanapun dia sudah boleh menggunakan gelaran tersebut selepas menerima surat rasmi daripada puak Naning pada empat bulan lalu.
Dalam pada itu, pengarah teater itu sedia menerima kritikan daripada masyarakat yang tidak mengiktiraf gelaran tersebut.
"Bagi saya senang sahaja. Saya menerima pengiktirafan ini sebagai tanda menghargai pihak sana (puak Naning).
"Jika ada yang mempertikaikannya, tidak apa, saya tidak kisah. Dan jika siapa-siapa yang mahu tahu kebenarannya, silalah ke Istana Nan Panjang yang terletak di Simpang Empat, Melaka," ujarnya.
Terdahulu, kontroversi isu 'Datuk Naning' tercetus apabila pelakon komedi Pian (Cecupak), Boy Iman dan penyanyi Nash dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M) yang membawa gelaran Datuk pada Mei lalu.
Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu dilakukan semperna hari keputeraan Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning Ke-21, Datuk Nordin Abd Jalil yang diadakan di A Famosa Resort, Melaka.
Sementara itu The Star pada 27 Jun 2013 melaporkan, anugerah yang diberikan oleh ketua-ketua wilayah dan pemimpin-pemimpin tradisional mana-mana negeri tidak diiktiraf di negara ini melainkan kurniaan Yang di- Pertuan Agong dan ketua-ketua kerjaaan negeri.
Akhbar Utusan Malaysia pada 30 Mei 2011 turut memetik kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menjelaskan anugerah dan gelaran yang disampaikan oleh kumpulan berkenaan adalah tidak sah dan tidak diiktiraf oleh kerajaan kerana hanya Yang Dipertua Negeri sahaja yang mempunyai hak mengurniakan sebarang darjah kebesaran.
Pihak berkenaan pula mendakwa anugerah itu adalah sah dalam adat pepatih Naning dan tidak menyalahi undang-undang selain tiada kaitan dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan.
sumber: http://www.mstar.com.my/
0 Komentar untuk "Raja Azrey Tetap Guna Gelaran 'Datuk Naning'"