Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

GAMIS Mahu Konsert Mariah Carey Di KL Dibatalkan


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa kerajaan supaya membatalkan konsert penyanyi wanita Mariah Carey yang bakal diadakan pada 22 Oktober depan di Stadium Merdeka.

Pembatalan itu sebagai menghormati kesedihan yang dialami negara ekoran tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang mengorbankan semua 298 nyawa penumpangnya pada 17 Julai lalu.

Menurut Presidennya; Abdul Malik Ab Razak, kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas, bersesuaian dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengumumkan hari berkabung untuk mangsa nahas MH17.

“Gamis amat kesal dengan penganjuran konsert Mariah Carey yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 22 Oktober depan,” kata Abdul Malik dalam satu kenyataan hari ini.

Konsert berkenaan adalah sebahagian daripada jadual siri jelajah ke Asia untuk melancarkan album terbaru Mariah bertajuk ‘Me.. I am Mariah.. The Elusive Chanteuse’.

Malaysia menjadi persinggahan pertama di rantau Asia Tenggara selepas Mariah membuat persembahan di China.

Abdul Malik berkata ketika rakyat Malaysia masih dalam kesedihan berikutan nahas MH17 dan serangan Israel ke atas Gaza, GAMIS kesal dengan penganjuran konsert tersebut.

“Ketika saudara Islam di Gaza dibunuh jasad mereka oleh Israel dan Amerika Syarikat, kita begitu mudah merelakan anak muda dirobek akidah dan akhlak mereka dengan hidangan hiburan dan model pemakaian seksi,” katanya. 
sumber:– MYNEWSHUB.MY
0 Komentar untuk "GAMIS Mahu Konsert Mariah Carey Di KL Dibatalkan"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info