MH17: Dua Jenazah Akan Dikebumikan Di Putrajaya
Dua jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dijadual tiba di tanah air pada Jumaat ini, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Selatan di Presint 20 di sini.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Perkhidmatan BandarPerbadanan Putrajaya (PPj) Zailani Hashim berkata selepas selesai istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, kedua-dua jenazah itu akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk solat jenazah.
“Jenazah berkenaan akan dikebumikan selepas Solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam di Presint 20,” katanya kepada media selepas taklimat pengurusan pengebumian jenazah MH17 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.
Menurutnya Taman Selatan yang seluas 86.78 hektar mempunyai plot perkuburan Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.
“Kita mempunyai banyak ruang di Tanah Perkuburan. Kami bersedia menerima jenazah lain sekiranya ada keluarga yang berhasrat mengebumikan mangsa di Tanah Perkuburan Presint 20,” katanya.
Kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 itu akan tiba di KLIA dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam pada kira-kira 10 pagi Jumaat ini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul HalimMu’adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan.
Turut dijadual hadir pada istiadat itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassn, para jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.
Kerajaan juga mengisytiharkan Jumaat ini sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah itu.
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Pesawat Boeing 777 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, telah ditembak jatuh namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
– BERNAMA
0 Komentar untuk "MH17: Dua Jenazah Akan Dikebumikan Di Putrajaya"