MH17: Komando Kongsi Kesedihan Tengok Cebisan Pesawat
“Selalu kita tengok lambang Malaysia Airlines (MAS) tu megah, tapi bila tengok dia bertaburan, berkecai, memang menyedihkan,” kata Koperal S. Nadisan Thevar.
Beliau seorang anggota VAT69 yang menyertai Pasukan Petugas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Ukraine yang melakukan siasatan nahas Penerbangan MH17.
Nadisan, 31, berkata perasaan sedih itu tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi rakyat negaraini turut menjadi mangsa kemalangan itu.
Beliau adalah antara lima anggota pasukan petugas itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Ukraine jam 3 petang ini.
Ketibaan mereka disambut oleh Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Senior Asisten Komisioner Datuk Azizan Abdul Aziz.
Nadisan berkata agak sukar bagi mereka menjalankan tugas di sana dengan kekangan puak pemisah yang menguasai lokasi kejadian.
“Kadang-kadang masuk ke kawasan nahas tu dia bagi masa sejam. Kadang-kadang kita jumpa sesuatu seperti dokumen, tapi dia tak bagi kebenaran untuk dekat dengan barang.
“Setakat ini, dengan rakyat Malaysia mereka (puak pemisah) ok. Tapi masalahnyakomunikasi. Sebab mereka tak boleh berbahasa Inggeris,” katanya yang berada di Ukraine selama 11 hari.
Koperal Mohd Ezaharuddin Abdul Rahim, 35, pula berkata setiap anggota pasukan yang ditugaskan di sana mempunyai semangat juang yang tinggi dan sentiasa komited untuk bertugas walaupun menempuh berbagai halangan.
Katanya beliau dan keluarga bersyukur apabila beliau dan semua anggota pasukan selamat menjalankan tugas dan pulang dari misi itu.
“Sedih tu mungkin, tapi kami berkhidmat untuk PDRM khususnya dan negara amnya…tapi tetap tingkatkan komitmen kami untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik,” katanya yang berkhidmat dengan PDRM selama 13 tahun.
Sementara itu Azizan berkata seramai 34 lagi anggota pasukan petugas itu akan tiba di tanahair esok termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, melalui pesawat MH19 dan MH21, masing-masing pada jam 6.10 pagi dan 6.25 pagi.
Terdahulu, seramai enam anggota pasukan petugas itu tiba jam 6.40 pagi tadi.
Pesawat MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis, 17 Julai.
sumber:– BERNAMA
0 Komentar untuk "MH17: Komando Kongsi Kesedihan Tengok Cebisan Pesawat"