ANGGOTA bomba Haoran Xu dan isterinya, Lin Chen.
Perkahwinan gila-gila kini makin menjadi-jadi di China dengan kebanyakan pengantin baru gemar mengabadikan gambar mereka di tempat kerja bersama rakan setugas.
Kecenderungan itu membayangkan komitmen mereka kepada tanggungjawab diberi sehingga memilih tempat kerja bagi meraikan detik bersejarah itu.
Lazimnya memfoto gambar perkahwinan secara konvensional membabitkan banyak masa, tenaga dan wang apabila ia memerlukan dekorasi dengan tema tertentu.
Kadangkala masa sehingga tiga hari diperlukan bagi menyediakan latar gambar sebelum proses memfoto dibuat.
Bebanan itu kadangkala menyukarkan golongan pekerja di China.
Justeru, ramai pasangan kini menukar reka letak romantis pada latar belakang gambar perkahwinan mereka dengan realiti di tempat kerja masing-masing.
Cara itu sangat popular dalam kalangan profesional yang bekerja di hospital serta jabatan pertahanan awam yang sentiasa perlu bersedia dipanggil bertugas walaupun ketika cuti.
Dalam pasaran berdaya saing terutama di sektor perkhidmatan awam petugas yang ingin merakam gambar di tempat kerja biasanya mendapat sokongan kuat daripada ketua masing-masing.
Bagi Lok Chien misalnya, petugas yang bergambar pengantin di pejabat biro perancangan dikendalikannya perlu dihargai.
“Ia menampakkan dedikasi serta rasa bangga pekerja dengan tugas mereka.
“Kegembiraan itu juga dapat sama-sama dikongsi oleh pekerja lain apabila mereka turut menyempurnakan detik indah itu,” katanya.
Begitu juga dirasai anggota polis khas di Chongqing, Weilin Hou, 29.
Ketika tugas memerlukan dia bersedia 24 jam sehari, tempat kerja adalah cadangan yang sempurna bagi sesi memfoto.
Daripada mengunjungi lokasi romantis, Weilin mempelawa isterinya ke pejabat dan mereka segera ke padang latihan.
Di situ pasangan pengantin baru itu mula beraksi di depan kanta kamera dengan dibantu rakan sekerja.
Di Ningbo, anggota bomba Haoran Xu dan isterinya, Lin Chen menjadikan lokasi pertemuan pertama mereka sebagai latar gambar.
Haoran dan Lin adalah kadet bomba yang mengikuti kursus di Kunming apabila
mereka berkenalan untuk kali pertama sebelum saling jatuh cinta.
Walaupun selepas itu mereka berjauhan, selama tiga tahun hubungan cinta itu terus mengukuh sebelum kedua-duanya disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Selepas berkahwin, Haoran berjanji kepada isterinya untuk bergambar apabila tiba masa sesuai.
Namun sebagai anggota bomba, Haoran dan Lin sentiasa dihambat waktu.
Hanya selepas setahun mereka akhirnya dapat duduk bersama untuk bergambar itu pun selepas rakan setugas Haoran mengetahui pasangan terbabit bermasam muka gara-gara tiada gambar perkahwinan diabadikan.
Dengan bantuan pelbagai pihak, Haoran dan Lin bergambar dengan latar belakang berek balai bomba.
Sementara itu, beberapa pasangan pengantin yang memilih kaedah itu berkata, ia bukan saja menjimatkan masa, malah wang.
Chen Tsao juga memilih tempat kerja sebagai latar gambar perkahwinannya.
“Saya tak ada masa untuk ke tempat lain untuk difoto tetapi mengabadikan gambar perkahwinan sangat penting.
“Kemudian saya dengar ada pengantin baru bergambar di tempat kerja dan saya tersedar ia adalah peluang yang tak boleh dilepaskan kerana saya boleh menggembirakan dua pihak sekali gus, iaitu isteri dan majikan,” katanya.
sumber:http://kopilikat.blogspot.com/
0 Komentar untuk "Cara Baru Foto Perkahwinan Di Tempat Di China"